LAWAS: Pembukaan kaunter Sumbangan Tunai Rahmah (STR) oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dengan kerjasama Pejabat Daerah Lawas di Pusat Service Sarawak, Bangunan Pentadbiran Lawas mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat terutama penduduk dari kawasan luar bandar dan pedalaman.
Kaunter berkenaan diwujudkan bagi memudahkan orang ramai membuat semakan status, kemaskini maklumat, permohonan baharu serta rayuan STR.
Penduduk, Siuk Sultan, 70, berkata inisiatif turun padang tersebut banyak membantu masyarakat walaupun keadaan agak sesak disebabkan jumlah pengunjung yang ramai.
“Pengurusan kaunter bagus juga walaupun ramai orang datang. Cuma maklumat mengenai tempat beratur kurang jelas sedikit menyebabkan kawasan sesak.
“Kalau warga emas datang, lebih baik bawa anak supaya urusan mereka lebih mudah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Sementara itu, Singa Taei, 69, menyifatkan program tersebut sebagai peluang terbaik untuk membantu golongan yang masih belum menerima bantuan STR.
“Terima kasih kerana membantu kami yang kurang faham mengenai bantuan kerajaan. Ramai juga yang datang dari kawasan ulu untuk membuat urusan.
“Saya berharap masyarakat yang belum datang dapat hadir, dan kalau boleh program seperti ini dibuat selama dua hari supaya lebih ramai dapat mengurus bantuan mereka,” ujarnya.
Bagi Anita Padan, 57, program sedemikian wajar diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada penduduk yang tinggal jauh dari bandar.
“Saya berharap program seperti ini selalu dibuat kerana banyak urusan yang perlu dilakukan, lebih-lebih lagi kami tinggal jauh dari bandar.
“Golongan warga emas yang tidak pandai menggunakan telefon juga boleh datang kerana petugas akan membantu mereka secara terus,” katanya.
Program turun padang seperti ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah memperlihatkan usaha berterusan agensi kerajaan dalam memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima manfaat bantuan yang disediakan.-EDISI UKAS