Sistem Pengasingan Laluan Baharu Di ICQS Sungai Tujoh Mula Beroperasi
MIRI: Sistem pengasingan laluan baharu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh kini mula beroperasi secara rasmi bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik serta mempercepatkan proses pelepasan kenderaan di pintu sempadan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata pelaksanaan sistem itu membolehkan kenderaan berdaftar Malaysia diasingkan daripada aliran kenderaan asing sekali gus mengurangkan masa menunggu dan kesesakan trafik.
Menurut beliau, pengguna dari Limbang, Lawas dan Sabah yang memasuki Miri kini tidak lagi perlu beratur bersama laluan kenderaan asing.
“Sekarang kenderaan Malaysia tidak perlu lagi beratur bersama laluan negara asing. Ia dipisahkan supaya proses menjadi lebih cepat dan lancar,” katanya ketika ditemui media di ICQS Sungai Tujoh, Kuala Baram pada Jumaat.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat tiga kaunter disediakan namun operasi telah diselaraskan mengikut keperluan semasa dan jumlah trafik kenderaan.
Katanya, ketika ini hanya dua kaunter dibuka, namun pihak berkuasa bersedia membuka ketiga-tiga kaunter sekiranya berlaku peningkatan trafik terutama pada hujung bulan, musim perayaan dan cuti umum.
Dalam pada itu, beliau mengakui pihak imigresen masih berdepan kekangan tenaga kerja dan akan berhubung dengan ibu pejabat Jabatan Imigresen bagi memohon tambahan kakitangan.
“Saya percaya masalah kesesakan boleh dikurangkan dengan lebih berkesan apabila tenaga kerja dan kaunter dipertingkatkan,” jelasnya.
Mengulas mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), beliau berkata ia merupakan antara perancangan jangka panjang yang memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Imigresen di peringkat nasional.
Menurutnya, penggunaan sistem automasi dan AI mampu meningkatkan kecekapan pemeriksaan serta mempercepatkan proses pelepasan di pintu sempadan pada masa hadapan.
Dato Sri Lee turut menjelaskan antara faktor utama kesesakan trafik di ICQS Sungai Tujoh ialah proses pemeriksaan sesetengah kenderaan yang mengambil masa lebih lama sehingga menjejaskan aliran trafik di belakang.
Tambah beliau, projek naik taraf bernilai kira-kira RM4 juta itu telah diluluskan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kira-kira dua tahun lalu bagi meningkatkan kecekapan aliran trafik kenderaan dari Brunei ke Miri.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan sekitar RM31 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi projek jangka panjang menaik taraf keseluruhan kawasan sempadan termasuk sistem dan infrastruktur baharu.
Katanya, pelaksanaan sistem pengasingan laluan itu diharap mampu membawa perubahan positif serta mengurangkan kesesakan trafik di ICQS Sungai Tujoh mulai hari ini.-EDISI UKAS