214 Penjawat Awam Terima Pingat Perkhidmatan Setia 2026 Di Bintulu
BINTULU: Seramai 214 penjawat awam Sarawak dan Persekutuan daripada pelbagai jabatan serta agensi di negeri ini menerima Pingat Perkhidmatan Setia Tahun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan khidmat bakti mereka dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey mendahului senarai penerima selepas menabur bakti selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
Pingat berkenaan telah disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam satu majlis yang berlangsung di Bintulu pada Jumaat.
Antara penerima lain melibatkan 10 kakitangan dari Pejabat Residen Bahagian Bintulu, 24 daripada Jabatan Hutan Sarawak, dua daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, tiga daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta tujuh daripada Jabatan Pertanian Sarawak.
Selain itu, seramai 48 penerima terdiri daripada kakitangan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), tiga penerima daripada Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, enam daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, 38 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta 73 penerima daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi serta ketua-ketua Jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini