Persiapan Sempena Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin Giat Dilaksanakan
SIMUNJAN: Penduduk kampung di Zon 3 Sungai Apin giat menjalankan persiapan bagi memastikan Program Hari Bersama Komuniti Zon 3 berjalan lancar dan meriah.
Persiapan yang dilakukan melibatkan penyusunan tempat, rumah sukan, penyediaan ruang aktiviti, pembersihan kawasan serta memastikan segala keperluan program berada dalam keadaan teratur dan siap sebelum program berlangsung.
Program Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 24 Mei 2026 (Sabtu – Ahad) bermula 7.00 pagi hingga 12.00 malam, dengan pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.
Antara kampung yang terlibat dalam penganjuran dan penyertaan program ini ialah Kampung Sungai Apin, Kampung Tanjung Harapan, Kampung Selangking, Kampung Tanjung Pisang, Kampung Pantong Iban dan Kampung Melayu yang akan bersama-sama berganding bahu menjayakan program komuniti tersebut.
Pelbagai aktiviti telah disusun antaranya pertandingan karaoke, fashion show kanak-kanak, pertandingan mewarna warga emas, pertandingan rumah sukan, perbarisan rumah sukan, sukaneka, tarik tali serta kaunter perkhidmatan agensi.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik menanti.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan program, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Simunjan serta Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Simunjan turut dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan sambutan dan mengeratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.
Program ini diharapkan dapat menjadi platform terbaik dalam mengukuhkan perpaduan, meningkatkan semangat kerjasama dan memupuk hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
Penduduk sekitar turut dijemput hadir bagi sama-sama memeriahkan Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin. -EDISI UKAS