SERIAN: Seramai 94 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Bahagian Serian menyertai Program Latihan Advokasi dan Kesedaran Kesihatan Mental kepada Ketua Komuniti atau Komuniti Minda Sejahtera (K-MindSet).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, peranan pemimpin masyarakat bukan sekadar mengurus pembangunan fizikal kampung, malah menjadi mata dan telinga kepada kesejahteraan emosi penduduk setempat.
Beliau berkata, program K-MindSet membantu peserta memahami bahawa penyakit mental boleh dirawat dan pesakit tidak seharusnya dipinggirkan masyarakat.
“Jika berlaku kejadian seperti banjir, kebakaran atau masalah rumah tangga yang memberi tekanan kepada penduduk, para KMKK kini tahu bagaimana membantu melalui pendekatan melihat keadaan mangsa, mendengar keluhan mereka dengan empati dan menghubungkan mereka dengan bantuan sewajarnya,” katanya semasa berucap dalam majlis penutupan program itu, di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, pada Jumaat.
Beliau turut menyeru masyarakat di Serian supaya lebih peka terhadap kesihatan mental dengan melakukan saringan kendiri menerusi aplikasi MySejahtera melalui carian MyMinda serta mendapatkan bantuan awal melalui Talian HEAL 15555 sekiranya memerlukan sokongan emosi.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Serian, Dr Majorie Ensayan Junting, menegaskan bahawa kesihatan mental merupakan aspek penting yang sama signifikan dengan kesihatan fizikal kerana kedua-duanya saling berkait dalam menentukan kesejahteraan individu.
Beliau berkata, dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan kadar kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas meningkat kepada 4.6 peratus, iaitu dua kali ganda berbanding tahun 2019.
“Lebih membimbangkan, data tahun 2022 menunjukkan satu daripada empat remaja mengalami kemurungan,” katanya.
Menurut beliau lagi, NHMS 2025 turut mendedahkan bahawa 9.8 peratus warga emas mengalami demensia manakala prevalens kemurungan dalam kalangan golongan tersebut mencecah 8.0 peratus.
Katanya, sebanyak 18.8 peratus warga emas kini tinggal bersendirian, sekali gus meningkatkan risiko isolasi sosial dan kemerosotan kesihatan mental. -EDISI UKAS