APGH 2026 Platform Percepat Pembangunan Industri Hidrogen Hijau Rantau Asia Pasifik
KUCHING: Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2026 (APGH 2026) bakal menjadi platform penting dalam mempercepat pembangunan industri hidrogen hijau di rantau Asia Pasifik.
Acara yang dijadual berlangsung di di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 9 hingga 11 Jun depan itu akan menghimpunkan kerajaan, pemain industri, pelabur dan penyedia teknologi bagi membincangkan usaha memperluas penggunaan hidrogen hijau sebagai sumber tenaga masa depan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, dunia kini berdepan cabaran ketidaktentuan pasaran tenaga dan perubahan iklim yang semakin serius, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap sumber tenaga bersih dan mampan.
Menurut beliau, hidrogen hijau kini bukan lagi sekadar idea masa depan, tetapi semakin dilihat sebagai penyelesaian utama dalam usaha mencapai sasaran sifar pelepasan karbon.
“Sarawak berada pada kedudukan yang baik dengan sumber tenaga hidro boleh diperbaharui serta pembangunan SCORE yang membolehkan pengeluaran hidrogen hijau secara besar-besaran.
“Sarawak sudah bersedia, dengan kuasa hidro boleh diperbaharui dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang membolehkan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar. Kami tidak menunggu masa depan; kami sedang membinanya.
“APGH akan menjadi platform di mana dialog menjadi projek yang boleh dipercayai, di mana dasar bertemu modal, dan di mana hidrogen bergerak daripada potensi kepada impak sebenar, mempercepatkan peralihan tenaga bersama-sama dengan kerajaan dan rakan kongsi industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jawatankuasa Pemandu APGH 2026 turut mengadakan mesyuarat bagi memuktamadkan persiapan dan pelaksanaan program menjelang acara tersebut.
Antara pengisian utama APGH 2026 ialah sesi fireside chat melibatkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang akan dikendalikan oleh Nobuo Tanaka.
Selain itu, pelbagai sesi plenari dan panel akan membincangkan landskap tenaga semasa, inisiatif hijau dan mampan serta peluang jaringan perniagaan sepanjang program tiga hari tersebut.
Satu lagi peristitiwa penting APGH 2026 ialah pelancaran Kluster Perindustrian Peralihan Sarawak atau Sarawak Transitioning Industrial Cluster (TIC), iaitu inisiatif transformasi industri pertama Malaysia di bawah rangka kerja Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Inisiatif tersebut diterajui oleh MYCentre4IR dengan kerjasama WEF serta Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESTy) bagi mempercepat transformasi industri melalui kerjasama ekosistem yang terselaras.
Pelancaran TIC Sarawak turut dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai kluster peralihan industri pertama negara di bawah rangka kerja WEF, selain menyokong pelbagai dasar pembangunan nasional termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Dasar Revolusi Industri Keempat Negara (N4IRP), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MD2030), Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P).
Dalam pada itu, zon pameran APGH 2026 akan dibuka kepada orang awam dan menampilkan pelbagai teknologi berkaitan hidrogen termasuk elektroliser, sistem penyimpanan, penyelesaian pengangkutan serta aplikasi hiliran hidrogen dalam sektor tenaga, pengangkutan dan industri berat.
APGH 2026 dijangka mengukuhkan lagi peranan Sarawak sebagai hab utama ekonomi hidrogen hijau di rantau Asia Pasifik selaras dengan agenda pembangunan tenaga mampan dan rendah karbon.-EDISI UKAS