Kerajaan Sarawak Lulus Dana Tambahan RM10 Juta Bina Masjid Baharu Kampung Seberang Mukah
MUKAH: Kerajaan Sarawak meluluskan dana tambahan sebanyak RM10 juta bagi projek pembinaan Masjid Baharu Kampung Seberang Mukah sekali gus menjadikan keseluruhan kos projek tersebut meningkat kepada RM14.8 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, tambahan peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif kepada masyarakat Islam di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, peruntukan asal projek tersebut ialah sebanyak RM4.8 juta sebelum menerima tambahan dana yang diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Kelulusan tambahan dana bagi pembinaan masjid baharu ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan syiar Islam sekali gus menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Naik Taraf Surau kepada Masjid di Masjid Darul Ibadah Kampung Sungai Alo, pada Jumaat.
Bercakap mengenai Masjid Darul Ibadah, Abdul Yakub memberitahu, pengiktirafan status baharu masjid itu diharap dapat memperkukuhkan lagi peranan institusi masjid sebagai pusat ibadah, penyatuan ummah, pendidikan agama serta kebajikan masyarakat Islam setempat.
“Saya turut berharap segala urusan perancangan dan pelaksanaan pembinaan Masjid Baharu Kampung Seberang Mukah dipermudahkan serta berjalan lancar,” tambahnya.
Terdahulu, Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Mukah, Muhammad Adib Saini menyerahkan sijil naik taraf surau kepada masjid kepada Pengerusi Masjid Darul Ibadah Kampung Sungai Alo, Yusuf Lai.-EDISI UKAS