Guru Luar Bandar Tonggak Pendidikan, Perlu Sokongan Berterusan
DALAT: Guru di sekolah luar bandar bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, malah menjadi mentor, kaunselor dan penggerak sokongan komuniti dalam memastikan kelangsungan pendidikan di kawasan luar bandar.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, guru di luar bandar terus menunjukkan komitmen tinggi walaupun berdepan pelbagai cabaran logistik dan kekangan infrastruktur.
"Guru-guru di kawasan luar bandar terus gigih berkhidmat walaupun berdepan cabaran logistik.
"Ini termasuk kebergantungan kepada set penjana kuasa serta kemudahan infrastruktur yang terhad," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Hari Guru dan Raya-Gawai di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina San San, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Fatimah, sekolah luar bandar amat memerlukan kepimpinan yang stabil bagi memastikan pengurusan dan penyampaian pendidikan dapat berjalan dengan lebih berkesan.
Katanya, cabaran operasi yang unik termasuk kekangan kakitangan dan keterbatasan infrastruktur menjadikan kesinambungan kepimpinan sekolah satu aspek penting.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat sebuah sekolah yang telah beroperasi selama lima tahun tanpa guru besar tetap.
"Keadaan ini menekankan kepentingan kesinambungan kepimpinan serta pentadbiran yang kukuh di institusi pendidikan luar bandar, khususnya dalam memastikan hala tuju sekolah dapat dirancang dengan lebih berkesan.
"Sepanjang tempoh kekosongan tersebut, sekolah berkenaan terpaksa bergantung kepada pemangku guru besar untuk mengurus operasi harian, satu tanggungjawab yang memerlukan komitmen tinggi," tambahnya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut meluluskan permohonan sekolah berkenaan berjumlah RM27,000 untuk menambah baik infrastruktur dan aktiviti sekolah.-EDISI UKAS