Projek RTP Naik Taraf Bangunan, Bina Struktur Berbumbung Baharu SJK C Ming Chiang Siap Sepenuhnya
MERADONG: Projek Naik Taraf Bangunan Blok D serta pembinaan Struktur Berbumbung Baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Ming Chiang berjaya disiapkan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM300,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kemudahan baharu tersebut bakal meningkatkan keselesaan murid dan guru serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan dalam bidang sukan dan kokurikulum sekolah.
“Kemudahan baharu ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada murid dan guru, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan dalam aktiviti sukan dan kokurikulum,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Sempena Hari Guru sekolah tersebut pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Ding berkata, sambutan Hari Guru merupakan platform terbaik untuk menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak bangsa.
Menurutnya, tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Bitara, Nadi Negara” amat bertepatan dalam menggambarkan peranan penting guru dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memperkukuh sektor pendidikan bagi memastikan murid dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selesa dan kondusif.-EDISI UKAS