Kampung Kuala Nyalau Akan Diperbesar Jadi Bandar Baharu Sokong Hab Industri Samalaju
BINTULU: Kampung Kuala Nyalau bakal diperbesar dan dibangunkan sebagai bandar baharu moden bagi menyokong pertumbuhan pesat kawasan industri Samalaju tanpa menjejaskan penduduk kampung sedia ada.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pembangunan tersebut merupakan sebahagian daripada pelan induk jangka panjang kerajaan Sarawak sehingga tahun 2030 dalam memperkukuh pembangunan negeri ini sebagai pusat ekonomi utama.
Menurut beliau, pembangunan Kampung Kuala Nyalau akan melibatkan penyediaan kawasan perumahan moden, komersial, pejabat serta kemudahan sokongan untuk masyarakat tempatan dan komuniti ekspatriat yang bekerja di Samalaju.
“Sebuat kampung dekat Samalaju iaitu Kampung Nyalau akan diperluaskan dan ia tidak akan menjejaskan penduduk sekarang kerana kita memperbesarkan kawasan itu.
“Kita akan sediakan kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat ekspatriat yang tinggal di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang Bintulu 2026 di sini pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata pembangunan itu turut memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada penduduk kampung melalui pertambahan aktiviti perniagaan dan peluang ekonomi.
“Kita menyediakan kemudahan moden yang lebih baik termasuk kawasan perumahan mampu milik, kawasan komersial, pejabat dan perkhidmatan sokongan.
“Orang kampung tidak terjejas tetapi mereka akan mendapat manfaat ekonomi kerana apabila penduduk bertambah, kedai-kedai juga akan mendapat keuntungan,” ujarnya.
Beliau berkata tiga kampung di kawasan Kuala Nyalau yang akan disepadukan dalam pembangunan tersebut menerusi pelan induk yang turut merangkumi kawasan Jepak dan Samalaju.
Menurut beliau, pembangunan baharu itu akan menjadi sistem sokongan sosial kepada pelabur-pelabur yang datang ke Samalaju selain memperkukuh jaringan pembangunan Bintulu pada masa depan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir