Sarawak Cadang Teknologi Solar Baharu Tanpa Kebergantungan Bateri
BINTULU: Sarawak mencadangkan pembangunan teknologi tenaga solar baharu yang mampu menyimpan tenaga lebih lama tanpa kebergantungan kepada sistem bateri penyimpanan tenaga (BESS) menerusi penyelidikan bersama pakar universiti tempatan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata cadangan itu dibincangkan bersama Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pasukan penyelidik fakulti kejuruteraan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga.
Menurut beliau, Sarawak memiliki potensi besar dalam industri semikonduktor dan bahan mentah seperti silika serta silikon yang boleh diteroka untuk menghasilkan teknologi penyimpanan tenaga generasi baharu.
“Saya cadangkan kepada mereka untuk membuat kajian. Kalau mereka dapat menghasilkan panel solar yang mampu bertahan lebih lama.
“Sekarang panel solar hanya dapat bertahan kira-kira empat jam sebelum disokong oleh bateri BESS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Program Sarawakku Sayang Bintulu 2026 di sini pada Sabtu.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, Sarawak mempunyai sumber bahan mentah seperti pasir silika dan silikon yang berpotensi digabungkan dengan logam lain bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan tenaga sehingga 12 jam.
“Kita ada material untuk menghasilkan silika dan silikon. Mungkin ada juga bahan mentah lain yang boleh dihybridkan sehingga mampu melanjutkan ketahanan tenaga daripada empat jam kepada 12 jam tanpa menggunakan bateri,” katanya.
Menurut beliau, teknologi tersebut berpotensi menjadi pembekal tenaga normal pada masa depan sekali gus membuka ruang kepada penciptaan teknologi baharu yang mampu menembusi pasaran global.
Justeru katanya kajian mendalam perlu dilakukan terutama dalam bidang metalurgi bagi meneliti sifat pasir silika dan gabungannya dengan logam tertentu untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan tenaga.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengaitkan perkembangan teknologi penyimpanan tenaga itu dengan kemajuan superkomputer dan pemindahan data masa nyata berasaskan kelajuan cahaya.
Katanya, jika teknologi penyimpanan data berkapasiti tinggi mampu dicapai, teknologi penyimpanan tenaga dengan kapasiti lebih besar juga berpotensi direalisasikan menerusi penyelidikan saintifik.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir