MAKSAK Wanita Sarawak Santuni Pesakit, Hulur Bantuan Sempena Gawai di Hospital Bintulu
BINTULU: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak Santuni Pesakit, Hulur Bantuan Sempena Gawai di Hospital Bintulu pada Jumaat.
Program kebajikan tahunan anjuran Maksak tersebut diketuai oleh anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan bersama Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Dato Baduyah Bujang bertujuan menyantuni pesakit dan golongan kurang berkemampuan.
Antara pengisian utama program ialah lawatan ke Wad Kanak-kanak Hospital Bintulu, di mana setiap pesakit menerima sumbangan wang tunai RM100 daripada Dana Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak.
Sumbangan tersebut bertujuan menceriakan pesakit khususnya kanak-kanak yang tidak dapat menyambut Hari Gawai bersama keluarga mereka.
Selain menyantuni pesakit, MAKSAK Wanita Sarawak turut menyerahkan hamper SARA Cares kepada Pengarah Hospital Bintulu, Dr Suzalinna Sulaiman.
Selain itu, sebanyak 20 kotak barangan runcit bernilai RM100 setiap satu diagihkan kepada kakitangan hospital yang kurang berkemampuan sebagai usaha membantu meringankan kos sara hidup yang kian meningkat.
Bintulu merupakan lokasi kedua pelaksanaan program SARA Cares tahun ini selepas inisiatif berkenaan diperluaskan ke beberapa bahagian lain di Sarawak.
Program itu merupakan cetusan idea Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Yang Dipertua MAKSAK merangkap Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang berasaskan konsep bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperkenalkan kerajaan sebelum ini.
Melalui inisiatif tersebut, ketua jabatan dan pegawai kanan Perkhidmatan Awam Sarawak digalakkan menyumbangkan semula bantuan SARA RM100 ke Tabung SARA Cares sebelum dana berkenaan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di seluruh negeri.
Pada majlis sama, MAKSAK Wanita Sarawak turut menyampaikan bantuan MAKSAK Cares kepada dua pesara iaitu Jani Ding dan Abdul Manap Nahar yang menghidap penyakit kronik.
Kedua-duanya menerima bantuan RM500 bagi menampung kos rawatan segera di Hospital Umum Kuching.
Turut berlangsung penyampaian geran tahunan kepada Datin Rubiah Nyurang selaku Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Bintulu sebagai sokongan terhadap pelaksanaan aktiviti kebajikan di peringkat bahagian.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MAKSAK Wanita Sarawak dalam memperkukuh semangat kebersamaan, menyantuni pesakit serta membantu golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.-EDISI UKAS