50 Rumah Panjang Di Lingga Terima Sumbangan Gawai RM110,900
LINGGA: Sebanyak 50 rumah panjang di kawasan ini menerima Sumbangan Gawai Parlimen Batang Lupar berjumlah RM110,900 bagi membantu menceriakan sambutan Hari Gawai tahun ini.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda keprihatinan serta usaha berterusan untuk mendekati masyarakat dan berkongsi kegembiraan sempena perayaan itu.
Menurut beliau, Hari Gawai bukan sahaja diraikan dalam suasana meriah, malah turut membawa nilai kekeluargaan, perpaduan dan semangat saling membantu yang menjadi asas keharmonian masyarakat berbilang kaum dan budaya di Sarawak.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Mohammad Waqiuddin Yahya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Gawai di Bilik Serbaguna Anjung Merpati, pada Sabtu.
Bagi tahun ini, sumbangan diberikan mengikut jumlah pintu rumah panjang pada kadar RM100 bagi setiap pintu, di mana sebagai contoh, rumah panjang yang mempunyai 56 pintu menerima sumbangan sebanyak RM5,600.
Beliau turut menjelaskan bahawa bantuan yang disalurkan adalah khusus untuk diagihkan kepada setiap pintu rumah panjang dan bukan bagi tujuan penganjuran program atau kegunaan lain.
Dalam perkembangan semasa, beliau turut menyifatkan pembukaan awal Jambatan Batang Lupar 1 minggu lalu sebagai kemudahan penting kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, projek tersebut bukan sahaja memudahkan perjalanan dan hubungan antara kawasan, malah dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta peningkatan kemudahan masyarakat pada masa hadapan, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Gawai.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Daerah Lingga Nurshazani Fadli Salihin. -EDISI UKAS