Projek Jalan Jemoreng–Pasin Dahului Jadual, Dijangka Siap Mac Tahun Depan
SARIKEI: Projek pembinaan jalan dari Jemoreng ke Pasin kini berjalan lancar dan mendahului jadual pelaksanaan, sekaligus memberi tanda positif terhadap usaha memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun hadapan dan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Menurut beliau, pembinaan jalan tersebut amat signifikan memandangkan kawasan Pasin sebelum ini hanya boleh diakses menggunakan laluan sungai yang mengambil masa kira-kira dua jam daripada Sibu.
“Apabila projek ini siap kelak, jalan sepanjang 16 kilometer termasuk laluan spur sepanjang 17 kilometer akan menamatkan status Pasin sebagai kawasan terpencil.
“Setakat ini, pelaksanaan projek ini mendahului jadual dan kita yakin ia dapat disiapkan sepenuhnya seperti yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (IAC) Bahagian Sarikei pada Jumaat, sebelum mengadakan tinjauan kerja lapangan bagi melihat perkembangan projek tersebut di Pasin, pada Sabtu.
Menurut Dr Safiee, pembangunan infrastruktur itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 2,500 penduduk di kawasan Pasin yang selama ini bergantung kepada pengangkutan sungai untuk urusan harian.
Ujarnya, kawasan Pasin yang mempunyai lapan rumah panjang serta sebuah klinik dan sekolah yang bakal menikmati manfaat besar daripada kemudahan jalan baharu tersebut.
Tambah beliau, akses yang lebih baik kepada kemudahan pendidikan, kesihatan dan aktiviti ekonomi diyakini mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat secara menyeluruh.
“Projek ini bukan sahaja memudahkan pergerakan, malah membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang lebih mampan bagi masyarakat luar bandar,” katanya lagi.-EDISI UKAS