Pengiktirafan Sarawak Delta Sebagai UNESCO Global Geopark Buka Peluang Ekopelancongan Di Padawan
PADAWAN: Pengiktirafan Sarawak Delta sebagai UNESCO Global Geopark membuka peluang besar dalam sektor ekopelancongan sekali gus meningkatkan profil Sarawak di peringkat antarabangsa.
Wakil Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Irmadiana Ardi berkata, pengiktirafan yang diterima pada 23 April lepas merupakan satu pencapaian bersejarah apabila Sarawak Delta menjadi geopark pertama di Sarawak, keempat di Malaysia dan ketiga di Borneo.
“Kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat antara agensi kerajaan, pakar teknikal serta komuniti tempatan termasuk penduduk Kampung Sadir yang memainkan peranan penting dalam memenuhi kriteria penilaian ketat UNESCO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Buku Mewah ‘The Waterfalls of Sadir’ serta Apresiasi Projek ‘Ecological Fiscal Transfer (EFT)’ di Balairaya Kampung Sadir, di sini, pada Sabtu.
Tambahnya, Kampung Sadir kini diiktiraf sebagai Kampung Geopark, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) St Bernard Sadir turut dinamakan sebagai Sekolah Geopark, mencerminkan kejayaan pendekatan bersepadu antara pendidikan dan komuniti.
Selain itu katanya, beberapa lokasi berpotensi tinggi dikenal pasti sebagai tapak warisan geologi termasuk Air Terjun Kupot Sadir, Kolam Air Panas Annah Rais, Gua Sireh serta keunikan Sungai Semadang yang mampu menjadi tarikan pelancongan berimpak tinggi.
Irmadiana memberitahu, status geopark memerlukan penilaian semula setiap empat tahun oleh pihak UNESCO, di mana kesinambungan program dan pembangunan komuniti perlu diteruskan bagi memastikan pengiktirafan tersebut kekal.
Melalui pelaksanaan projek EFT, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk pendedahan kepada kepelbagaian biodiversiti, kajian flora dan fauna menggunakan kamera perangkap serta penganjuran program Biogeo Camp melibatkan pelajar tempatan. -EDISI UKAS