Program Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin Tarik 500 Pengunjung
SIMUNJAN: Program Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin 2026 yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin pada Sabtu berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 500 pengunjung.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dengan kerjasama Persatuan Komuniti Zon 3 Sungai Apin itu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan riadah.
Sebanyak tujuh pasukan mewakili kampung dan persatuan masing-masing mengambil bahagian dalam program tersebut antaranya Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) Simunjan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Apin, Kampung Tanjung Harapan, Kampung Selangking, Kampung Pantong Melayu, Kampung Pantong Iban serta Kampung Tanjung Pisang.
Acara dimulakan seawal jam 8.30 pagi menerusi program mewarna melibatkan warga emas sebelum diteruskan dengan pertandingan sukan rakyat yang mempertandingkan 14 acara berbeza.
Antara acara yang paling mendapat perhatian ialah pertandingan tarik tali yang memperlihatkan semangat kerjasama, perpaduan dan kesukanan dalam kalangan peserta.
Selain itu, para pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat menerusi pameran daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Simunjan, Majlis Daerah Simunjan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Simunjan, Hospital Simunjan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Simunjan.
Pelbagai gerai makanan dan minuman turut disediakan sekali gus memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan.
Kemeriahan program diteruskan pada sebelah malam menerusi Malam Pentas Rakyat yang menyaksikan pertandingan akhir karaoke melibatkan lima peserta terbaik daripada 18 peserta yang menyertai saringan awal.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis tempatan Hijrah Yahya dan Eyqa Saiful selain pertandingan Fesyen Kanak-Kanak yang menjadi antara pengisian utama program.
Majlis penangguhan program dua hari itu dijadual disempurnakan pada Ahad oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.- EDISI UKA