JDT Pertahan Kejuaraan Piala Malaysia, Tundukkan KCFC 2-0
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) melengkapkan kejayaan quadruple musim ini dengan menjuarai Piala Malaysia 2025/2026 selepas menundukkan Kuching City FC (KCFC) 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.
Gol pertama skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh Marcos Guilherme De Almeida pada minit ke-80 dengan melakukan lambungan cantik di sudut kanan gawang KCFC bagi menewaskan Haziq Nadzli.
Pemain terbaik perlawanan, Arif Aiman Hanapi memadam sisa perjuangan KCFC dengan merembat gol kedua pada minit ke-90 untuk melengkapkan malam cemerlang JDT.
Ia kejuaraan kali keenam buat JDT selepas mula menjuarai Piala Malaysia pada 2017.
JDT turut memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super pada musim ini.
Lebih 50,000 penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil terhibur dengan aksi berintensiti tinggi ditampilkan oleh kedua pasukan sebaik wisel dimulakan.
JDT hampir awal di depan pada minit ke-12 namun jaringan penyerang prolifiknya, Bergson Gustavo dibatalkan oleh pengadil dari Qatar, Mohammed Ahmed Al-Shammari atas kesalahan mengasari pemain KCFC.
Skuad 'The Cats' bimbingan Aidil Sharin Sahak memperkemas permainan dan hampir menemui penyudah pada minit ke-19 namun hantaran silang Joao Pedro gagal disambar oleh Muhammad Ramadhan Saifullah.
Minit ke-60, KCFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Ramadhan dijatuhkan dalam kotak penalti.
Peluang itu bagaimanapun gagal disempurnakan oleh Ramadhan.
Beberapa gerakan berbahaya yang dilancarkan oleh Jerome Etame dan Petrus Shitembi juga gagal menembusi gawang JDT yang dikawal utuh oleh pertahanan mereka.
Aksi final malam tadi turut disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof serta beberapa menteri dan timbalan menteri kabinet Sarawak dan persekutuan.
Beliau turut diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada pemain KCFC.
Meskipun tewas, ia tetap pencapaian membanggakan buat KCFC sepanjang Liga Malaysia tahun ini selepas muncul naib juara Liga Super 2025/2026 dan layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 tahun depan. - EDISI UKAS