KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Kuching City FC (KCFC) Aidil Sharin Sahak tetap memuji persembahan pemainnya meskipun tewas 0-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 malam tadi.
Menurutnya, pemain telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan tersebut, malah bekerja keras sebelum ini untuk membawa pasukan itu ke pentas akhir kejohanan tersebut.
“Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa, mereka (pemain) telah memberikan yang terbaik, mereka bekerja keras, anda tahu, untuk berada di sini hari ini.
“Dan akhirnya, hanya ada satu pemenang yang saya fikir hari ini, JDT telah mengambil peluang yang mereka ada dan itulah perbezaan antara kedua-dua pasukan ini hari ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan berakhir.
Aidil turut mempertahan Muhammad Ramadhan Saifullah selepas penyerang itu gagal menyempurnakan sepakan penalti yang disifatkannya sangat penting dan mampu mengubah skrip perlawanan tersebut.
Beliau yakin Ramadhan menyedari kesilapannya dan akan bangkit dari kekecewaan tersebut sekali gus tampil lebih baik di masa akan datang.
“Dia manusia biasa, jadi kesilapan adalah perkara biasa dalam bola sepak.
“Saya masih gembira dengan persembahan beliau sepanjang musim dan pastinya dia akan memperbaiki kesilapan seperti ini,” tegas Aidil lagi.
Mengulas perancangan musim depan, beliau berkata pasukan itu perlu dimantapkan lagi dengan membawa masuk pemain yang lebih berkualiti khasnya di posisi serangan dan pertahanan.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk memaklumkan kelemahan skuad serta kualiti yang diperlukan bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim depan.
“Kita perlu duduk bersama lembaga pengarah untuk menyatakan apakah kelemahan, apakah kualiti yang kita perlukan, kerana kita akan bermain dalam ACL, Piala Shoppee, Piala FA, Piala Malaysia. Ia adalah banyak pertandingan.
“Dan jangan lupa, kita akan bertemu JDT sekali lagi dalam perlawanan pertama, Sumbangsih. Sudah tentu, JDT akan memperbaiki diri mereka dan kita juga perlu mencari jalan untuk memperbaiki diri kita,” tambah Aidil lagi.
Dalam perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, KCFC tewas 0-2 dengan kedua-dua gol JDT dijaringkan pada separuh masa kedua.
Gol pertama skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh Marcos Guilherme De Almeida pada minit ke-80 manakala gol kedua disumbangkan oleh pemain terbaik perlawanan, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-90.
Ia kejuaraan kali keenam buat JDT selepas mula menjuarai Piala Malaysia pada 2017.
Meskipun tewas, KCFC tetap boleh berbangga dengan pencapaiannya pada musim ini selepas berjaya menamatkan kempen Liga Super 2025/2026 di kedudukan kedua termasuk layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 musim depan.
Aksi final malam tadi turut disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof serta beberapa menteri dan timbalan menteri kabinet Sarawak dan persekutuan.
Premier Sarawak turut diberi penghormatan untuk menyampaikan hadiah kepada pemain KCFC. - EDISI UKAS