MINTRED Bawa 10 Usahawan Sarawak Sertai Borneo Native Festival 2026 di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) membawa seramai 10 usahawan Sarawak untuk mengetengahkan pelbagai produk dan perniagaan tempatan dalam program Borneo Native Festival 2026 yang berlangsung di Pasar Seni Kuala Lumpur dari 22 hingga 24 Mei lepas.
Penyertaan itu bukan sahaja membantu memperluas pendedahan pasaran produk Sarawak, malah memberi peluang kepada usahawan membina rangkaian perniagaan baharu dan meneroka potensi kerjasama strategik.
Sepanjang tiga hari penganjuran festival tersebut, para usahawan terbabit dijangka merekodkan nilai jualan kira-kira RM230,000 sekali gus mencerminkan permintaan yang semakin meningkat serta potensi pasaran yang memberangsangkan terhadap produk keluaran Sarawak.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib selaku tetamu kehormat.
Beliau turut meluangkan masa melawat ke Pavilion MINTRED serta bertemu dengan para usahawan Sarawak yang mengambil bahagian dalam festival tersebut. -EDISI UKAS