SIBU: Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar agar anak-anak Sarawak mendapat akses pendidikan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyediakan pelbagai bantuan pendidikan termasuk Bantuan Kewangan Khas Pelajar Sarawak, subsidi pendidikan tinggi serta inisiatif pendidikan percuma.
“Kerajaan GPS amat komited dalam memastikan generasi muda Sarawak mendapat akses pendidikan yang lebih baik kerana pendidikan merupakan kunci utama untuk mengubah masa depan rakyat dan membangunkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Mantar Gawai Dayak 2026 dan Pemimpin Bersama Rakyat Sungai Lengan yang berlangsung di Rumah Bunga, Sungai Lengan, di sini, pada Ahad
Dr Safiee turut menyeru ibu bapa agar terus memberi sokongan kepada anak-anak dalam bidang pendidikan selain memanfaatkan segala bentuk bantuan yang disediakan kerajaan demi masa depan generasi akan datang.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM132,000 kepada 25 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta tiga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Sungai Lengan dan sekitarnya.
Hadir sama semasa majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnnie Zawawi, wakil Pegawai Daerah Sibu Cynthia Ong Hshiang Ping, Penghulu Denish Ansam, Penghulu Tanjung Keling, Kaunselor-Kaunselor Majlis Daerah Sarikei (SRDC) serta tuai-tuai rumah kawasan berkenaan.-EDISI UKAS