Penglibatan Wanita Dalam Tenaga Kerja Perlu Terus Diperkasa
MUKAH: Penglibatan wanita dalam tenaga kerja perlu terus diperkasa sejajar dengan perkembangan ekonomi digital dan teknologi masa depan yang semakin pesat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kejayaan wanita dalam bidang pekerjaan bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan keluarga, malah memperkukuh kestabilan sosial dan ekonomi negara.
"Wanita memainkan peranan besar sebagai pemangkin pembangunan negeri dan perlu terus diperkasakan agar mampu bergerak seiring dengan perubahan ekonomi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Sarawak Women @ Work Bahagian Mukah, di Kingwood Hotel Mukah, pada Ahad.
Menurut Dato Sri Fatimah, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak termasuk pembangunan usahawan wanita, latihan kemahiran digital, bantuan mikrokredit serta peluasan akses kepada pendidikan dan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, program Sarawak Women @ Work selari dengan hala tuju kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi digital, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan inovasi teknologi.
Jelasnya, perkembangan sektor tersebut membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk melibatkan diri dalam bidang ekonomi dan teknologi masa depan.
Tambahnya, wanita juga digalakkan menceburi bidang teknologi masa depan seperti keselamatan siber, kejuruteraan dan teknologi dron bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan.-EDISI UKAS