Sembilan Projek Infrastruktur Siap, Tingkat Kemudahan Penduduk Matu
MATU: Sebanyak sembilan projek infrastruktur yang siap dilaksanakan di sekitar Matu diserahkan secara rasmi bagi meningkatkan kemudahan serta keselesaan penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, tersebut amat penting kerana bukan sahaja berjaya mempertingkatkan jaringan infrastruktur jalan kampung, malah turut menyediakan kemudahan yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada penduduk dalam menjalankan aktiviti harian.
Menurut beliau, projek yang dilaksanakan merangkumi bina baharu astaka di Dataran Pekan Matu, naik taraf dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Sergunim Jemoreng, padang futsal Pekan Matu, jalan kampung, parit serta pembinaan titian di beberapa kawasan.
Katanya, projek bina baharu astaka di Pekan Matu menjadi simbol usaha kerajaan menyediakan kemudahan awam yang lebih kondusif untuk komuniti setempat dan penganjuran aktiviti masyarakat.
Selain itu, ujar beliau, projek naik taraf dewan sekolah pula mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kemudahan pendidikan demi mewujudkan suasana pembelajaran lebih selesa dan selamat.
Dalam majlis sama, bakul makanan turut diagihkan kepada penduduk memerlukan di sekitar Matu dan Igan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Turut berlangsung sesi penyerahan buku “Terendak Melanau Culture Heritage” oleh pihak Universiti Teknologi Sarawak bagi memelihara dan memperkenalkan warisan budaya masyarakat Melanau kepada generasi akan datang.-EDISI UKAS