Perarakan Niti Daun Di Kapit Semarak Warisan Budaya, Perkukuh Perpaduan
KAPIT: Sebanyak 28 kontinjen melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan veteran, badan kebudayaan serta wakil rumah panjang berhimpun menjayakan Perarakan Niti Daun sempena Kapit Cultural Festival (KCF) 2026 yang berlangsung meriah di Kapit Town Square pada Sabtu.
Perarakan tersebut bukan sahaja mengetengahkan keunikan warisan tradisi dan seni budaya masyarakat tempatan, malah menjadi simbol kekuatan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Bahagian Kapit.
Setiap kontinjen tampil memperagakan pakaian tradisional, identiti etnik serta elemen kebudayaan masing-masing yang mencerminkan kepelbagaian adat dan warisan masyarakat di kawasan itu.
Program berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat serta pengunjung yang hadir bagi menyaksikan kemeriahan festival budaya tahunan tersebut.
Penganjuran Perarakan Niti Daun dilihat sebagai medium penting dalam memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat berbilang kaum di samping mempromosikan Kapit sebagai destinasi pelancongan budaya yang kaya dengan adat dan tradisi unik.
Selain mengetengahkan warisan budaya masyarakat tempatan, festival tersebut turut memberi impak positif terhadap sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi peningkatan kehadiran pengunjung dari pelbagai kawasan.
Kemunculan pelbagai kontinjen dengan persembahan kebudayaan dan identiti etnik masing-masing turut menyerlahkan keistimewaan Kapit sebagai antara kawasan yang kaya dengan kepelbagaian budaya di Sarawak.
Turut hadir semasa program itu ialah Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Pegawai Daerah Kapit Thomas Geoffrey Kandawang, Pengerusi Majlis Daerah Kapit Andy Lawrence, Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan, wakil Pegawai Daerah Song Willy Watson Awan, Ketua Polis Daerah Kapit Rohana Nanu serta Pemancha Pasang Tuba.-EDISI UKAS