Upacara Miring Berpotensi Diiktiraf Sebagai Warisan Kebangsaan
SIBU: Upacara Miring yang menjadi amalan tradisi masyarakat Dayak di Sarawak berpotensi besar untuk diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara di peringkat kebangsaan sebelum dipertimbangkan bagi pengiktirafan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata ritual tradisional tersebut mempunyai nilai budaya dan spiritual yang tinggi kerana sarat dengan elemen kesyukuran, penghormatan terhadap alam serta permohonan kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, upacara berkenaan masih diamalkan sehingga kini khususnya dalam sambutan Gawai dan majlis adat masyarakat Dayak di Sarawak.
“Ia masih diamalkan hingga kini khususnya dalam sambutan Gawai dan majlis adat masyarakat Dayak.
“Oleh itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara perlu mewartakan upacara ini sebagai Warisan Kebangsaan terlebih dahulu agar ia dapat didokumentasikan, dipelihara dan dipromosikan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Mantar Gawai Dayak Bahagian Sibu 2026 di Hotel Kingwood pada Sabtu.
Dato Sri Aaron turut menarik perhatian terhadap kejayaan pengiktirafan tarian Ngajat sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2007 yang membuktikan komitmen negara dalam memartabatkan budaya masyarakat pribumi.
Menurut beliau, di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645], Warisan Tidak Ketara merujuk kepada amalan, ekspresi, pengetahuan dan budaya masyarakat yang mempunyai nilai estetika, sejarah serta identiti tinggi kepada negara.
Katanya, warisan tersebut merangkumi pelbagai bentuk tradisi yang diwariskan secara turun-temurun dan menjadi lambang jati diri masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Justeru, Jabatan Warisan Negara terus memperkukuh usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan tidak ketara melalui empat cawangan utama iaitu Adat dan Budaya, Seni Persembahan, Bahasa dan Persuratan serta Seni Halus dan Kraf.
“Kesemua elemen ini memainkan peranan penting dalam memastikan khazanah budaya negara terus lestari dan dihargai oleh generasi akan datang,” ujarnya.
Majlis tersebut dianjurkan bersama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Sibu dan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Sibu.
Turut hadir semasa tersebut ialah isteri beliau, Datin Sri Ping Bungan, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting dan Paulus Dandee Banyang, Temenggong Stanley Gramong Bandar, Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau, Pengerusi SDNU Sibu Chambai Lindong serta Pengerusi SIDS Sibu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Angelyn Uchi Maseng.-EDISI UKAS