Penjenamaan Semula Pesta Danu Kepada Pesta Serian Timungen Cerminan Era Baharu Pesta Tahunan Serian
SERIAN: Penjenamaan semula Pesta Danu Serian kepada Pesta Serian Timungen menjadi cerminan permulaan era baharu penganjuran pesta tahunan di Bahagian Serian.
Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph berkata, Pesta Serian Timungen 2026 diperkenalkan sebagai pengganti kepada Pesta Danu Serian yang dihentikan susulan pembangunan kawasan Tasik Danu.
Katanya, penjenamaan semula pesta tersebut dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bagi memastikan tradisi penganjuran pesta tahunan di Serian terus dikekalkan.
“Timungen membawa maksud cantik, menarik, menawan, indah mempesonakan dan tiada tandingan. Nama ini melambangkan keunikan serta daya tarikan Bahagian Serian,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Serian Timungen yang berlangsung di Serian Conference Centre (SCC), pada Sabtu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Serian Dato Sri (Dr) Richard Riot Jaem.
Dalam pada itu, Caroline memberitahu pesta tersebut bukan sahaja menjadi platform bagi menggabungkan aktiviti kebudayaan, sosial dan ekonomi, malah berperanan memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Serian.
Selain itu, menurutnya, pesta berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan tempatan, penggiat seni dan golongan belia untuk mempamerkan bakat, hasil seni serta menjana pendapatan melalui pelbagai gerai jualan dan aktiviti yang disediakan.
Beliau menambah, penganjuran pesta itu juga bertujuan mempromosikan Bahagian Serian sebagai destinasi ‘Must Stop Over’ di samping merancakkan ekonomi tempatan menerusi kerjasama antara komuniti, pihak berkuasa tempatan serta pelbagai agensi kerajaan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Setiausaha Majlis Daerah Serian Tay Gan Huat, serta Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar.-EDISI UKAS