Datuk Ir Aidel, MGSJ Meriahkan Malam Kedua Pesta Terubuk 2026
SADONG JAYA: Persembahan khas oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo bersama kumpulannya, Musical Group Sadong Jaya (MGSJ) menjadi antara tarikan utama malam kedua Pesta Terubuk 2026 Lan Berame Nge Sadong di Panggung Udara Pekan Warisan Sadong Jaya pada Sabtu.
Kemunculan beliau sebagai pemain gitar utama kumpulan itu nyata dinantikan warga Sadong Jaya yang memenuhi tapak pesta sejak awal malam bagi menyaksikan persembahan istimewa berkenaan.
Persembahan MGSJ mendapat sorakan gemuruh apabila mereka membawakan beberapa lagu rock malar segar yang cukup popular seperti Baldu Biru yang pernah dipopularkan oleh Ella dan Awie, selain lagu Bintang nyanyian Budak Kaca Mata.
Turut dipersembahkan ialah lagu Bencana, Teguh, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Manusia Reptilia dan Isabella daripada kumpulan legenda rock tanah air, Search yang berjaya membangkitkan nostalgia dalam kalangan pengunjung.
Suasana bertambah meriah apabila pengunjung turut menyanyi bersama sepanjang persembahan berlangsung sekali gus menjadikan malam pesta tersebut penuh warna-warni dan hiburan.
Selain persembahan MGSJ, malam itu turut dimeriahkan dengan penampilan artis jemputan Winie Albert serta persembahan yang paling dinantikan ramai iaitu penyanyi popular era 90-an Ayai Ilusi yang menyanyikan lagu hits Segalanya Ku Terima.
Sementara itu, majlis perasmian dan penangguhan Pesta Terubuk 2026 Lan Berame Nge Sadong dijadual disempurnakan oleh Datuk Ir Aidel pada Ahad.
Pelbagai acara menarik turut diadakan pada hari terakhir festival termasuk Pertandingan Kopi O YB Datuk Ir Aidel, Pertandingan Masakan Ikan Terubuk, Pertandingan Ulam-Ulaman Ala Kampung serta Jualan Terubuk Pasar Ikan yang menawarkan diskaun RM10 kepada pengunjung. -EDISI UKAS