Gawai Lambang Perpaduan, Penghargaan Kejayaan Masyarakat
PADAWAN: Sambutan Hari Gawai bukan sekadar perayaan tahunan masyarakat Dayak, malah menjadi simbol penghargaan terhadap usaha, kejayaan dan perpaduan komuniti dalam membina kehidupan yang lebih baik serta harmoni di Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, semangat Gawai mencerminkan nilai kesyukuran, kebersamaan dan keharmonian yang menjadi asas kekuatan masyarakat Dayak sejak turun-temurun.
“Gawai bukan sekadar perayaan, tetapi simbol penghargaan terhadap usaha, kejayaan dan perpaduan masyarakat di mana konsep Gawai adalah untuk meraikan kejayaan dalam kehidupan, sama ada dalam keluarga, pekerjaan, pendidikan mahupun komuniti di samping mengukuhkan identiti dan jati diri masyarakat Dayak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Gawai Daerah Kecil Padawan 2026, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip turut menekankan kepentingan semangat kerjasama dan perpaduan sebagai asas pembangunan Sarawak yang berterusan, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri.
Pada majlis yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu turut menyampaikan sumbangan Hari Gawai kepada 12 penerima daripada golongan memerlukan sebagai usaha meringankan beban mereka dalam membuat persiapan perayaan berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong dan Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihad. -EDISI UKAS