NNC Band Juara ‘Battle of The Band’ Pesta Serian Timungen 2026
SERIAN: NNC Band muncul sebagai juara ‘Battle of the Band’ sempena Pesta Serian Timungen 2026 selepas berjaya memukau barisan juri menerusi persembahan bertenaga dan penuh kreativiti.
Kemenangan tersebut membolehkan kumpulan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta sijil dan trofi.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Silent Killer yang menerima hadiah wang tunai RM2,000 berserta sijil dan trofi.
Manakala tempat ketiga menjadi milik Rhythm Waves yang dianggotai pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil dan trofi.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Serian, Dato Sri (Dr) Richard Riot Jaem dan turut disaksikan oleh Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta ketua-ketua jabatan yang hadir.
Menurut Dato Sri Richard, pertandingan tersebut bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan bakat muzik anak muda, malah turut memeriahkan sambutan Pesta Serian Timungen 2026 dengan sokongan padu masyarakat setempat.
“Pertandingan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah memberi ruang kepada golongan belia untuk menampilkan kreativiti dan membina keyakinan diri melalui seni muzik,” katanya. -EDISI UKAS