Bau Gawai Parade Bukti Warisan, Perpaduan Terus Kukuh
BAU: Bau Gawai Parade 2026 bukan sekadar acara perarakan kebudayaan, sebaliknya menjadi simbol kekuatan perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta komitmen generasi hari ini dalam mempertahankan warisan budaya yang menjadi identiti daerah Bau.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata, penyertaan masyarakat khususnya golongan belia dalam acara tersebut membuktikan semangat sebenar masyarakat Bau yang sentiasa menghargai budaya dan warisan mereka.
“Jika sekitar 800 peserta mengambil bahagian pada tahun sebelumnya, tahun ini acara ini berjaya menghimpunkan kira-kira 1,800 peserta melibatkan 91 kontinjen serta pelbagai ‘float’ perarakan yang lebih kreatif dan meriah.
“Peningkatan itu bukan sekadar angka, sebaliknya menunjukkan masyarakat mahu budaya dan warisan terus hidup, dihargai serta diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya semasa berucap dalam acara itu, pada Sabtu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu lagi, perayaan tersebut bukan sekadar pesta atau hiburan, tetapi membawa makna mendalam berkaitan kesyukuran, kekeluargaan, persaudaraan serta penghargaan terhadap warisan nenek moyang.
Hadir sama, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datuk Ik Pahon Joyik, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Ching Ping, Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching Atok Derop serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS