Anak Muda Dayak Perlu Warisi Seni Kraftangan Nenek Moyang
SRI AMAN: Generasi muda Dayak digesa mempelajari seni kraftangan warisan nenek moyang bagi memastikan khazanah budaya masyarakat terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan hasil seni kraftangan kaum Dayak terus diketengahkan kepada masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
"Nenek moyang masyarakat kaum Iban telah mewariskan ilmu pembuatan kraftangan seperti pua kumbu, anyaman manik, bakul, tikar dan banyak lagi kepada keturunan mereka.
"Tradisi ini perlu dikekalkan dalam kalangan generasi muda kita. Justeru saya mohon kepada semua pihak berkaitan agar bekerja keras untuk mengadakan pertandingan atau aktiviti pembuatan kraftangan kaum Dayak ini dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Mantar Gawai Dayak serta Pekit Keling dan Kumang 2026 di Dewan Suarah Sri Aman pada Sabtu.
Selain itu, Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, penggiat seni kraftangan kaum Dayak juga digalakkan mencari pendekatan lebih kreatif untuk memasarkan produk masing-masing kepada masyarakat di dalam negeri ini.
"Jangan biarkan hasil kraftangan anda tersimpan di dalam rumah. Mungkin produk itu boleh anda pasarkan ketika berlangsung Pesta Benak Sri Aman atau menerusi laman web internet.
"Dengan cara itu maka hasil kraftangan orang Dayak dapat diperkembangkan dan seterusnya menarik minat golongan generasi muda kita untuk meneruskan tradisi itu pada masa akan datang," ujar beliau.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman Anthony Abell Chendan dan Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Gawai Dayak Sri Aman Temenggong Leonard Libau Anol. -EDISI UKAS