Dzul, Nur Awliyah Nadira Curi Tumpuan Di Program Hari Bersama Komuniti Simunjan
SIMUNJAN: Program Hari Bersama Komuniti Parlimen P200 Batang Sadong bukan sahaja dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, malah turut menjadi platform mencungkil bakat tempatan menerusi pertandingan karaoke dan pertunjukan fesyen kanak-kanak.
Dalam pertandingan karaoke peringkat akhir, Dzul muncul juara selepas menampilkan persembahan yang mantap, penuh keyakinan dan berjaya memikat hati juri sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM200 serta hamper.
Peserta yang mewakili Kampung Tanjung Harapan itu dilihat konsisten sepanjang pertandingan dan berjaya mengatasi pencabar lain dengan persembahan yang lebih stabil serta berimpak, sekali gus menonjolkan bakat seni suara dalam kalangan komuniti setempat.
Naib juara disandang oleh Amanda yang turut memberikan saingan sengit dengan persembahan bertenaga, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Rohaya yang turut mencuri perhatian dengan gaya persembahan tersendiri.
Sementara itu, dalam pertandingan pertandingan pertunjukan fesyen kanak-kanak, Nur Awliyah Nadira dinobatkan sebagai juara selepas menyerlah dengan keyakinan pentas, penampilan menarik serta kreativiti dalam memperagakan busana.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Nur Huda Zakaria dan tempat ketiga menjadi milik Nur Hayatul Najhan yang turut menunjukkan potensi besar dalam bidang persembahan dan fesyen kanak-kanak.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris. -EDISI UKAS