Hari Jururawat & Bidan Hargai Pengorbanan Warga Kejururawatan Di Sarikei
SARIKEI: Sambutan Hari Jururawat dan Bidan menjadi platform penghargaan terhadap pengorbanan serta dedikasi warga kejururawatan yang terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Pengerusi Persatuan Profesional Jururawat Sarawak Cawangan Sarikei, Wong Siew Hua berkata jururawat memainkan peranan penting dalam memastikan sistem perkhidmatan kesihatan berjalan secara berkesan dan mampu memenuhi keperluan rakyat.
Menurut beliau, golongan tersebut sentiasa memikul amanah besar dalam memberikan rawatan dan penjagaan kepada pesakit dengan penuh tanggungjawab selain mengekalkan nilai profesionalisme, empati serta ketabahan dalam menjalankan tugas harian.
“Perkhidmatan kejururawatan merupakan antara elemen penting yang menyokong kesejahteraan masyarakat dan memainkan peranan besar dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sambutan Hari Jururawat dan Bidan yang berlangsung di Dewan Suarah Sarikei pada Sabtu.
Menurut Wong, sumbangan jururawat bukan sahaja tertumpu kepada rawatan klinikal di hospital, malah melibatkan usaha meningkatkan kesedaran kesihatan, menggalakkan amalan pencegahan penyakit serta memperkukuh penjagaan kesihatan di peringkat komuniti.
Beliau turut menyifatkan jururawat sebagai simbol dedikasi dan pengorbanan yang sentiasa bersedia berkhidmat demi kesejahteraan pesakit tanpa mengira situasi.
Dalam pada itu, Wong berharap masyarakat akan terus menghargai peranan jururawat serta memberikan sokongan berterusan terhadap profesion tersebut yang menjadi antara tulang belakang sektor kesihatan negara.
Bersempena sambutan tersebut, program senamrobik yang diadakan berjaya menghimpunkan kira-kira 130 jururawat dari seluruh Bahagian Sarikei.
Program berkenaan bukan sahaja diadakan sebagai penghargaan kepada warga kejururawatan, malah bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain memberi ruang kepada petugas menjaga keseimbangan kesihatan fizikal dan emosi.
Selain menjadi platform rekreasi, aktiviti tersebut turut membantu mengukuhkan hubungan antara rakan sekerja, memupuk semangat kebersamaan serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan petugas kesihatan.-EDISI UKAS