Program Jualan Agro Sarawakku Sayang Dicadang Dilaksana Semula Secara Berkala Di Kuching
KUCHING: Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) dicadangkan supaya dilaksanakan semula secara berkala di kawasan Kuching bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan makanan segar pada harga berpatutan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, kawasan Esplanade Gersik sebelum ini pernah menjadi lokasi pasar tani mingguan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Beliau berkata, program berkenaan wajar dihidupkan semula memandangkan ia memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat khususnya penduduk di kawasan seberang Kuching.
“Saya berharap FAMA bersama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) serta agensi lain termasuk DBKU dapat mengadakan program sebegini dengan lebih kerap.
“Lebih kurang tujuh hingga lapan tahun lalu, tapak ini pernah menjadi lokasi pasar tani mingguan FAMA dan saya berharap program ini dapat dilaksanakan semula bagi memudahkan penduduk memperoleh produk makanan pada harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program JASS di Esplanade Gersik, pada Ahad.
Datuk Dr Abdul Rahman menambah, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama FAMA bagi melihat kemungkinan program tersebut dianjurkan secara berkala sama ada bulanan atau suku tahunan pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu turut menggalakkan penduduk setempat menyertai program pertanian bandar atau community farming yang dilaksanakan oleh DBKU.
Menurutnya, usaha itu mampu membantu penduduk bandar menanam sayuran dan tanaman kontan secara kecil-kecilan di kawasan rumah masing-masing sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup.
“Sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati hasil sendiri dan usaha ini juga membantu mengeratkan kerjasama antara agensi kerajaan dengan masyarakat,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan keterjaminan makanan, malah dapat memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pertanian bandar.
Turut hadir ialah Pengarah FAMA Negeri Sarawak Norsalawaty Abdul Kadir serta Pengarah DBKU Ramzi Abdillah. -EDISI UKAS