Jururawat, Bidan Nadi Perkhidmatan Kesihatan Lawas
LAWAS: Pengorbanan serta komitmen jururawat dan bidan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus menjadi tunjang utama kepada sistem perkhidmatan kesihatan di daerah ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, jasa dan dedikasi petugas kesihatan khususnya jururawat serta bidan amat dihargai kerana sentiasa bersiap siaga memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Lawas.
Menurut beliau, golongan berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat menerima rawatan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti.
“Penghargaan dan terima kasih kepada kakitangan hospital yang sentiasa bersedia melayani warga Lawas dengan baik.
“Apa yang penting, perjuangan dan usaha ini harus diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi sempena Hari Bidan dan Hari Jururawat 2026 anjuran bersama Sarawak Medical Services Union (SMSU) Cawangan Lawas di Hotel Seri Malaysia Lawas pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Henry berkata, bangunan Hospital Lawas baharu yang dijangka beroperasi tahun ini bakal memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di kawasan tersebut.
Ujarnya, sokongan terhadap sektor kesihatan akan terus diperkasa termasuk menerusi sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu keperluan berkaitan.
Turut hadir ialah Pengarah Hospital Lawas Dr Douglas Chu Kin Soon, Dr Rudy Ngau Ajeng, Penguasa Pejabat Kesihatan Daerah Lawas Matron Sarida Bantangon, Ketua Penyelia Jururawat Hospital Lawas Omar Bahrein Unin, Timbalan Presiden SMSU, Timbalan Setiausaha SMSU Shira Galang, Pengerusi SMSU Cawangan Lawas Cendan Ujan serta Pengerusi Sarawak Midwife Association Cawangan Lawas Nur Sara Balkis.- EDISI UKAS