Projek Jalan Raya, Elektrik Sungai Passin Bawa Perubahan Besar Kepada Penduduk
MATU: Projek pembinaan jalan raya dan bekalan elektrik luar bandar di Sungai Passin dijangka membawa perubahan besar terhadap kehidupan penduduk khususnya dari aspek ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, projek pembinaan Jalan Sungai Passin/Matu kini mencapai kemajuan sebanyak 77.46 peratus manakala Projek Elektrik Luar Bandar (RES66) Last Mile Sungai Passin pula mencatat 94.43 peratus siap setakat ini.
Menurut beliau, projek jalan raya berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027 manakala projek bekalan elektrik luar bandar dijadual siap pada penghujung Jun depan.
"Apabila kedua-dua projek ini siap sepenuhnya nanti, penduduk akan menikmati sistem perhubungan yang lebih selesa dan akses bekalan elektrik yang lebih stabil, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan dan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mantar Gawai 2026 Sungai Passin yang berlangsung di Rumah Atoh, Sungai Passin, di sini, pada Sabtu.
Dr Safiee turut menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan kawasan luar bandar agar jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan secara berperingkat.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur asas merupakan pemangkin utama dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk serta membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan pedalaman.
Dalam masa sama, beliau turut berharap agar seluruh penduduk rumah panjang terus memberikan kerjasama yang baik kepada pihak kontraktor dan agensi pelaksana supaya proses pembinaan dapat berjalan lancar mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM63,000 kepada tujuh rumah panjang Sungai Passin, tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batang Lassa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Passin. -EDISI UKAS