RM150,000 Dilulus Naik Taraf Padang SK Sungai Apin Demi Manfaat Komuniti
SIMUNJAN: Sebanyak RM150,000 diperuntukkan bagi melaksanakan fasa kedua projek menaik taraf padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin demi manfaat warga sekolah serta komuniti setempat.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, peruntukan daripada dana Parlimen itu akan digunakan untuk meningkatkan kualiti kemudahan padang termasuk pemasangan jaring keselamatan serta kerja pengurusan dan penyelenggaraan rumput yang lebih sempurna.
“Saya melihat kawasan ini memerlukan kemudahan padang yang lebih baik memandangkan kampung-kampung sekitar tidak mempunyai kemudahan sedemikian.
“Jadi, peruntukan ini adalah untuk manfaat bersama penduduk di Zon 3,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin di padang sekolah berkenaan pada Ahad.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan riadah dan rekreasi yang lebih selesa penting dalam menyokong aktiviti sukan, program komuniti serta pembangunan sosial masyarakat setempat khususnya golongan belia dan pelajar.
Dalam pada itu, Rodiyah turut mendedahkan perancangan jangka panjang bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang untuk mewujudkan sebuah pusat komuniti atau dewan yang lebih besar di kawasan Zon 3 Sungai Apin.
Menurutnya, pelaksanaan perancangan tersebut memerlukan kerjasama erat daripada penduduk kampung khususnya dalam aspek penyediaan tapak memandangkan kebanyakan tanah di kawasan tersebut merupakan milik persendirian.
Tambah beliau, pembangunan kemudahan komuniti yang lebih lengkap amat penting bagi menyediakan ruang kepada pelaksanaan program kemasyarakatan, aktiviti belia dan majlis setempat pada masa hadapan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad serta Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak. -EDISI UKAS