Pemimpin Akar Umbi Diseru Adaptasi Teknologi Bagi Perkasa Penyampaian Perkhidmatan
SIMUNJAN: Pemimpin di peringkat akar umbi diseru agar sentiasa menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan perubahan dasar kerajaan bagi memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat kekal berkesan serta relevan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, cara kerja masa kini jauh berbeza berbanding sebelum ini, justeru pemimpin perlu lebih proaktif memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dengan agensi kerajaan serta wakil rakyat.
“Ketua kampung, ahli jawatankuasa (AJK) kampung dan kaunselor harus lebih aktif mengenal pasti keperluan penduduk serta membawa perkara tersebut kepada pihak kami untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Rodiyah turut menyarankan golongan muda diberikan peluang untuk terlibat dalam jawatankuasa kampung.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi menggabungkan pengalaman pemimpin sedia ada dengan idea segar serta kemahiran teknologi yang dimiliki generasi muda.
Mengulas penganjuran program tersebut, beliau turut mencadangkan agar Persatuan Komuniti Zon 3 Sungai Apin didaftarkan secara rasmi bagi memudahkan urusan permohonan dana serta penganjuran pelbagai aktiviti komuniti pada masa hadapan.
Program julung kali itu berjaya menghimpunkan penduduk daripada enam buah kampung di bawah Zon 3 Sungai, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat setempat. -EDISI UKAS