Program Kesedaran Halal Tingkat Kefahaman Masyarakat Mengenai Sembelihan Syariah
KUCHING: Program ‘Halal Awareness Community: Latihan Kesedaran Halal dan Sembelihan Halal’ menjadi platform penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai konsep halal khususnya berkaitan kaedah sembelihan yang betul mengikut syariat Islam.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, program seumpama itu bukan sahaja memberi pendedahan dari sudut agama, malah membantu membentuk kesedaran sosial dan pembangunan komuniti khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, usaha memperkukuh kesedaran halal dalam masyarakat amat penting kerana ia berkait rapat dengan tanggungjawab umat Islam memastikan makanan yang dimakan adalah halal, bersih dan mematuhi tuntutan syariah.
“Program seperti ini sangat baik untuk membangunkan masyarakat bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga dari segi pemikiran, kesedaran dan kefahaman penduduk,” katanya ketika berucap pada program berkenaan, pada Ahad.
Datuk Dr Hazland turut menegaskan bahawa proses penyembelihan haiwan perlu dilakukan mengikut kaedah yang betul dan berperikemanusiaan supaya haiwan tidak diseksa selain memenuhi tuntutan agama Islam.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kesediaan untuk terus menyokong program berbentuk kesedaran komuniti dan pembangunan sosial di kawasan Demak Laut termasuk inisiatif melibatkan belia serta masyarakat kampung pada masa akan datang.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sarkawi, Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Mohd Amir Ridhwan Abdullah dan Pengarah Program Kesedaran Dan Kursus Penyembelihan Halal Nurnajla Damia Zaidi. -EDISI UKAS