20 Peserta Kursus Asas Kayak Bintang Satu Perkukuh Kemahiran & Keselamatan Air
KOTA SAMARAHAN: Seramai 20 peserta berjaya menamatkan Kursus Asas Kayak Bintang Satu Peringkat Sarawak yang berlangsung selama tiga hari di Tasik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bermula 22 hingga 24 Mei 2026.
Program pembangunan sukan air itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dengan kerjasama Persatuan Kenu Sarawak dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat sukan berkayuh di negeri ini.
Sesi latihan teknikal sepanjang kursus dikendalikan sepenuhnya oleh Ketua Jurulatih merangkap Pengerusi Lembaga Pendidikan Kanu Malaysia (MBOCE) Sarawak, Majais Bujang.
Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Abu Zaid Abu Bakar yang mengadakan lawatan pemantauan program menzahirkan sokongan terhadap usaha melahirkan penggiat sukan air yang berkemahiran serta menitikberatkan aspek keselamatan.
Menurut beliau, kursus tersebut menjadi platform penting dalam melahirkan penggiat sukan air yang bukan sahaja mahir mengendalikan kayak, malah mampu bertindak secara cekap dalam situasi kecemasan di perairan.
“Kami menekankan aspek keselamatan sebagai tunjang utama. Sepanjang tiga hari ini, semua peserta diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard yang ketat termasuk penggunaan jaket keselamatan sepanjang masa serta menguasai teknik menyelamat diri dan rakan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui di lokasi latihan, pada Ahad.
Bagi melayakkan diri menerima pensijilan Bintang Satu, setiap peserta perlu melalui dua fasa penilaian utama iaitu ujian teori dan ujian amali bagi mengukur tahap kefahaman terhadap aspek keselamatan serta penguasaan kemahiran teknikal yang dipelajari.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai modul latihan praktikal intensif termasuk teknik ‘self-rescue’ dan ‘buddy rescue’, latihan apungan berkumpulan serta penguasaan teknik kayuhan yang efisien bagi memastikan kestabilan dan kawalan kayak di perairan.-EDISI UKAS