Pengurusan Hutan Mampan Perkukuh Agenda Pembangunan Sarawak
MIRI: Dasar penggunaan tanah Sarawak kekal jelas dan konsisten dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan pengurusan hutan mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya enam juta hektar kawasan diwujudkan sebagai Hutan Simpan Kekal atau Permanent Forest Estate (PFE), dengan lebih empat juta hektar telah berjaya dicapai setakat ini.
Beliau berkata, Sarawak turut menetapkan sasaran sekurang-kurangnya satu juta hektar kawasan perlindungan sepenuhnya (Totally Protected Area - TPA) dan usaha tersebut kini hampir mencapai matlamat ditetapkan.
“Apabila dicampur dengan kawasan tanah dan water body, kita telah mencapai 2.1 juta hektar. Ini menunjukkan komitmen kita dalam memperkukuh pengurusan hutan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2026 yang bertemakan ‘Forests and Economies’ di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, Sarawak yang berkeluasan 14.2 juta hektar kini masih mengekalkan lebih 62 peratus kawasan tanahnya sebagai hutan hasil pelaksanaan pengurusan hutan lestari secara berterusan.
Tegas Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II (MUDeNR) itu, kerajaan negeri tidak menolak pembangunan, namun memastikan setiap projek dilaksanakan secara lestari dan bertanggungjawab menerusi pengukuhan sistem pensijilan pengurusan hutan, penguatkuasaan undang-undang, penggunaan teknologi moden dalam pemantauan hutan serta pelaksanaan pengurusan hutan lestari.
Tambahnya lagi, Sarawak terus memperluaskan program penanaman semula hutan dan pembangunan hutan tanaman industri bagi mengurangkan tekanan terhadap hutan asli.
“Sehingga kini sebanyak 57 juta pokok telah ditanam dan Sarawak berada di hadapan sasaran nasional,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan (MINTRED) turut menegaskan bahawa tema ‘Forests and Economies’ amat berkait rapat dengan agenda pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kelestarian alam sekitar sebagai teras pembangunan negeri.
Katanya, sektor perhutanan bukan sahaja menyumbang kepada hasil negeri dan peluang pekerjaan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi hijau Sarawak.
Dalam majlis sama, Datuk Amar Awang Tengah turut menyaksikan simbolik pelancaran buku Jabatan Hutan Sarawak.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad serta dif-dif kenamaan lain.- EDISI UKAS