Pelaksanaan FWTA Perlu Ambil Kira Keperluan Industri Sarawak
MIRI: Agenda Transformasi Pekerja Asing Sarawak (FWTA) yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh sistem pengurusan pekerja asing secara lebih cekap dan telus, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keperluan semasa industri di negeri ini.
Naib Pengerusi Pusat Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kelvin Hii berkata, pelaksanaan FWTA ketika ini masih berada dalam fasa peralihan dan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan serta komuniti perniagaan bagi memastikan transformasi tersebut dapat dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan operasi industri.
Menurut beliau, cadangan kenaikan kadar bayaran pembaharuan permit pekerja asing daripada RM904 kepada RM1,484 bermula 1 Jun 2026 dan seterusnya RM1,854 pada tahun 2027 telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri.
“Kenaikan tersebut dijangka memberi tekanan kepada kos operasi syarikat khususnya sektor yang masih bergantung kepada tenaga kerja asing seperti pembinaan, perladangan, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Ahad.
Kelvin berkata, pandangan yang dikemukakan oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Sarawak, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) wajar diberi perhatian terutama dalam memastikan pihak industri diberikan ruang mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan dasar baharu tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Badul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala atas keterbukaan kerajaan negeri dalam membincangkan isu berkenaan bersama komuniti perniagaan.
Menurutnya, penjelasan kerajaan bahawa kenaikan bayaran itu bertujuan menaik taraf sistem dan melaksanakan transformasi, bukannya untuk mengaut keuntungan, mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan pekerja asing.
Beliau berkata, Sarawak kini masih memerlukan tenaga kerja asing memandangkan negeri ini sedang melalui fasa pembangunan pesat dan berdepan kekurangan tenaga kerja tempatan dalam pelbagai sektor.
“Banyak pekerjaan berintensifkan buruh masih bergantung kepada pekerja asing kerana kekurangan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor tertentu,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Sarawak dapat mempertimbangkan pelaksanaan kenaikan bayaran permit secara berperingkat atau menangguhkannya sehingga bekalan tenaga kerja tempatan lebih mencukupi.
Dalam pada itu, Kelvin turut mencadangkan agar usaha meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja tempatan diperkukuh bagi mewujudkan keseimbangan lebih baik antara penggunaan tenaga kerja tempatan dan pekerja asing pada masa hadapan.
Beliau turut menyifatkan pendigitalan proses permohonan dan pembaharuan permit di bawah FWTA sebagai langkah progresif yang mampu meningkatkan ketelusan, mengurangkan penipuan oleh orang tengah serta membantu membendung isu pekerja asing tanpa permit.
Tambahnya, transformasi itu diyakini dapat memudahkan urusan industri sambil memastikan peluang pekerjaan rakyat Sarawak terus dipelihara demi menyokong pembangunan ekonomi negeri secara mampan. -EDISI UKAS