KPWKM Sokong Kod Baharu ONSA Lindungi Kanak-Kanak Di Ruang Digital
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko ancaman di ruang digital.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, langkah tersebut amat penting memandangkan semakin ramai kanak-kanak kini terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian termasuk buli siber, eksploitasi seksual dan pengantunan dalam talian.
Menurut beliau, usaha perlindungan itu bukan sahaja melibatkan kerajaan dan Kementerian Komunikasi, malah memerlukan kerjasama ibu bapa, komuniti serta penyedia platform digital.
"Kita selalu mengatakan bukan hanya pendekatan kerajaan semata-mata tetapi juga pendekatan komuniti.
"Sebab itu ibu bapa dan penyedia platform digital perlu bersama-sama memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan produktif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Rhythm-Ritma Kehidupan Harmoni: Program Sihat Warga Emas di Dewan Bahasa Dan Pustaka, di sini, pada Ahad.
Dato Sri Nancy turut menegaskan, pendedahan berkaitan buli siber dan keselamatan digital perlu dipertingkatkan supaya kanak-kanak memahami bentuk-bentuk buli yang berlaku termasuk penggunaan kata-kata kesat atau perlakuan tertentu dalam media sosial.
Menurutnya, terdapat kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi akibat dibuli secara dalam talian namun tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya menjadi mangsa.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy memaklumkan, KPWKM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dalam menguatkuasakan kod ini demi kebaikan kanak-kanak dalam ruang digital.
"Biarpun kod ini dibawah Kementerian Komunikasi, tapi kami, kalau sesuatu berlaku kepada kanak-kanak yang biasanya kami menerima maklumat mahupun kami melihat sendiri, kami akan teruskan kepada pihak kementerian tersebut," ujarnya.
Untuk rekod, dua kod baharu di bawah ONSA iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) akan mula berkuat kuasa 1 Jun ini bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta mewajibkan platform digital mengambil langkah lebih tegas terhadap kandungan memudaratkan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Hisyam Arif