Randau Komuniti UKAS Wadah Perkukuh Hubungan Kerajaan Sarawak, Rakyat Luar Bandar
SIMANGGANG: Program Randau Komuniti anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menjadi wadah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Sarawak dan rakyat khususnya dari kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, program tersebut membolehkan rakyat memperoleh penjelasan tepat berkaitan dasar, polisi dan inisiatif pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk rakyat Sarawak.
"Melalui program ini, rakyat akan tahu bahawa Kerajaan Sarawak sedang bekerja untuk mereka seperti melaksana projek mega, memperkenal pendidikan percuma untuk anak Bumi Kenyalang, bantuan kewangan dan banyak lagi.
"Saya berharap program seperti ini akan menjadi platform terbaik untuk rakyat mendapatkan maklumat yang sahih di samping memahami hala tuju pembangunan Kerajaan Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah Sri Aman di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, rakyat di kawasan luar bandar khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang perlu bersedia menghadapi perubahan dunia yang semakin moden dan digital pada masa sekarang.
"Atas sebab itulah perlunya untuk rakyat di kawasan luar bandar mengambil peluang menambah ilmu, kemahiran dan pengetahuan supaya dapat mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga dan komuniti masing-masing.
"Usaha rakyat luar bandar ini secara tidak langsung dapat membantu Kerajaan Sarawak merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) menjelang tahun 2030 nanti," ujarnya.
Sebanyak lima agensi kerajaan turut membuka kaunter perkhidmatan pada program tersebut antaranya Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, MySalam dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sarawak (Sri Aman).
Turut berlangsung pada program itu adalah Taklimat Inisiatif Premier Sarawak oleh Awang Razif Awang Yusuf dari UKAS.
Hadir sama semasa majlis perasmian itu ialah Timbalan Pengarah UKAS Joachim Paggang Jabong, Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman Zaidil Ripin, wakil Residen Bahagian Sri Aman Mohammad Fathullah Jamaeini, wakil Pegawai Daerah Sri Aman Hamizan Yahya dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman Dr Miruna.-EDISI UKAS