Lebih 30,000 Pengunjung Hadir Program SKS Bintulu 2026
BINTULU: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bintulu 2026 berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan mendekati rakyat melalui penyampaian perkhidmatan secara terus.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, menerusi konsep One Stop Center Rakyat, pelbagai agensi kerajaan turun padang bagi memudahkan rakyat mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan bantuan yang diperlukan.
“Untuk pengetahuan, program Sarawakku Sayang di Bintulu telah mencapai lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari program ini berlangsung.
“Ini membolehkan urusan dokumentasi, begitu juga bantuan kebajikan, khidmat, nasihat dan sebagainya dapat diakses dengan mudah tanpa rakyat perlu menanggung kos perjalanan yang tinggi atau menempuh jarak yang jauh untuk datang ke pejabat.” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa majlis penangguhan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bintulu 2026 di sini pada Ahad.
Tambah Datuk Majang, program tersebut turut memberi impak positif kepada ekonomi tempatan apabila sebanyak 50 usahawan menyertai Bintulu Kitchen and Sell dengan jumlah hasil jualan dianggarkan melebihi RM400,000.
Selain itu, katanya, sebanyak lapan syarikat turut mengadakan sesi temu duga terbuka melibatkan lebih 400 calon yang hadir bagi merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan.
“Inilah pendekatan pembangunan yang kita perjuangkan iaitu pembangunan yang inklusif atau menyeluruh serta menyentuh kehidupan dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju berkata, program SKS turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan platform menghubungkan rakyat dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua dan Pegawai Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti. - EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq