MA63 Kekal Teras Perjuangan Sarawak Pertahan Hak Negeri
KUCHING: Perjuangan menuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperkukuh tanpa dipengaruhi perubahan kepimpinan atau situasi politik di peringkat Persekutuan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut dan Sungai), Datuk Henry Harry Jinep berkata perjuangan menuntut hak Sarawak akan kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri kerana ia melibatkan kepentingan rakyat serta masa depan pembangunan Sarawak.
“Siapa pun yang menjadi Kerajaan Persekutuan, MA63 akan sentiasa menjadi perjuangan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis kejohanan Sarawak Inter Division 2026 di sini, pada Ahad.
Datuk Henry berkata, Sarawak kini berada pada kedudukan yang jauh berbeza berbanding sebelum ini apabila kerajaan negeri semakin kukuh dari segi ekonomi, pembangunan serta keupayaan mentadbir negeri sendiri.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak juga terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan bantuan rakyat secara konsisten termasuk pembangunan luar bandar, bantuan pendidikan dan program kebajikan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya, kestabilan politik dan kekuatan ekonomi negeri membolehkan Sarawak terus memperkukuh kedudukannya dalam memperjuangkan hak-hak negeri serta memastikan pembangunan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS