Projek Gas, Kuasa Samalaju Perkukuh Keselamatan Tenaga Sarawak
BINTULU: Projek pembangunan gas dan kuasa di Samalaju terus menjadi pemangkin strategik dalam memperkukuh keselamatan tenaga Sarawak selain menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi negeri secara mampan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Projek Loji Janakuasa Kitaran Gabungan Samalaju (CCPP) dan Projek Saluran Paip Samalaju (SPL) memainkan peranan penting dalam memastikan sistem bekalan tenaga negeri lebih stabil, berdaya tahan dan mampu memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.
Menurut beliau, projek tersebut selari dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035 bagi menyokong pembangunan industri serta pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pembangunan infrastruktur kuasa dan gas bersepadu di Samalaju merupakan pemangkin utama dalam memperkukuh sistem tenaga Sarawak.
“Ia menyokong rantaian bekalan tenaga yang lebih cekap dan stabil selain menyediakan asas kukuh kepada pertumbuhan industri mampan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan tapak ke pembangunan utama tenaga di Samalaju melibatkan Projek CCPP dan SPL, di sini, pada Ahad.
Loji janakuasa CCPP Samalaju bakal mempunyai kapasiti penjanaan sekitar 1,500 megawatt (MW) menerusi tiga blok Combined Cycle Gas Turbine dengan fasa satu melibatkan dua blok 500MW yang kini sedang dalam pembinaan.
Projek tersebut dijangka memulakan operasi komersial secara berperingkat bermula tahun 2027 sebelum mencapai operasi penuh menjelang 2029.
Dalam pada itu, Projek Saluran Paip Samalaju direka untuk menyalurkan sehingga 300 juta kaki padu standard gas asli sehari (mmscfd) dari Kidurong ke Taman Perindustrian Samalaju sebagai sebahagian daripada sistem bekalan gas negeri.
Dato Sri Julaihi berkata projek tersebut turut mencerminkan pendekatan tenaga seimbang Sarawak menerusi penggunaan gas asli sebagai bahan api lebih bersih yang melengkapi sumber tenaga hidro negeri.
Beliau turut memuji penglibatan aktif jurutera, tenaga teknikal dan kontraktor tempatan Sarawak dalam pelaksanaan projek tersebut yang dilihat mampu memperkukuh pembangunan bakat serta kapasiti industri tenaga negeri.
Katanya, projek berimpak tinggi itu bukan sahaja menyokong pembangunan tenaga dan industri, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi jangka panjang kepada rakyat Sarawak.
Lawatan berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) Datuk Majang Renggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming serta pegawai Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.-EDISI UKAS