Pembangunan Infrastruktur, Pertanian Pacu Kemajuan Beting Maro
PUSA: Pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur serta pembangunan sektor pertanian terus menjadi pemangkin utama kemajuan kawasan Beting Maro menerusi peruntukan berjumlah RM205 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata peruntukan tersebut melibatkan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk di kawasan berkenaan.
“Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM5 juta bagi pembangunan sektor sawah padi di kawasan Muton sebagai usaha memperkukuh sektor pertanian dan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mantar Gawai 2026 di Rumah Panjang Meregang, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Razaili turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur utama termasuk Jambatan Batang Saribas dan Jambatan Batang Lupar yang disifatkan sebagai bukti kekuatan ekonomi negeri serta komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pembangunan yang sedang dilaksanakan ketika ini akan terus memacu Sarawak ke arah masa depan yang lebih maju dan progresif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat Iban serta ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di kawasan tersebut atas penganjuran Majlis Mantar Gawai yang disifatkan berjaya memperkukuh silaturahim dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Beting Maro.
Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mempererat hubungan masyarakat, malah medium penting dalam memelihara warisan budaya dan semangat kebersamaan rakyat Sarawak.-EDISI UKAS