Program Kebajikan Sempena Gawai Semarak Semangat Perpaduan
MIRI: Penganjuran program kebajikan sempena sambutan Hari Gawai terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh semangat perpaduan dan nilai keprihatinan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, usaha berterusan membantu golongan memerlukan tanpa mengira kaum atau agama mencerminkan semangat sebenar rakyat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni dan saling membantu.
Beliau berkata, komitmen pertubuhan Pertubuhan Membina Akhlak Teck Chiao Che Lee Khor Miri dalam membantu golongan kurang bernasib baik wajar dijadikan contoh kerana berjaya menyatukan masyarakat menerusi amalan saling membantu dan budaya memberi.
“Inisiatif kebajikan yang dilaksanakan secara konsisten setiap tahun itu merupakan contoh terbaik semangat perpaduan dan nilai kemanusiaan rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Dalam dunia sekarang, susah mencari orang yang mempunyai hati begitu baik. Mereka bukan sahaja membantu satu kaum sahaja, tetapi membantu semua tanpa mengira bangsa sama ada Cina, Dayak, Melayu atau lain-lain. Inilah semangat sebenar rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Gawai Dayak Goodies Giving Away 2026 anjuran pertubuhan tersebut yang diadakan di sini, pada Ahad.
Dato Dennis turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pertubuhan yang komited menganjurkan program kebajikan setiap tahun, khususnya menjelang musim perayaan Gawai Dayak.
Tambahnya, walaupun sumbangan yang diberikan mungkin sederhana, namun keikhlasan dan semangat memberi yang ditunjukkan amat bermakna kepada para penerima.
Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi peranannya sebagai Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam mempergiat promosi negeri ke peringkat antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong.
Katanya, peningkatan sektor pelancongan bukan sahaja merancakkan ekonomi, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan termasuk dalam sektor perhotelan, makanan dan pengangkutan.
Dalam pada itu, Dato Dennis mengingatkan masyarakat agar menyambut Gawai secara sederhana dan berhemah berikutan cabaran ekonomi semasa termasuk kenaikan harga barang di peringkat global.
Terdahulu, teks ucapan Presiden pertubuhan, Tonu Pui telah dibacakan oleh Timbalan Presiden, Paul Chong.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan program pemberian barangan keperluan tersebut telah dilaksanakan sejak 15 tahun lalu sebagai aktiviti tahunan pertubuhan dalam menyemai semangat prihatin dan budaya memberi dalam kalangan masyarakat.
Katanya, seramai kira-kira 100 penerima telah menerima sumbangan pada program kali ini, sekali gus memberi kegembiraan dan sokongan moral kepada golongan memerlukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyumbang, rakan perniagaan serta ahli jawatankuasa termasuk bahagian belia dan wanita yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.-EDISI UKAS