MIRI: Sarawak terus menjadi contoh terbaik dalam memupuk keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama melalui amalan saling menghormati, persefahaman serta perpaduan yang utuh.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja diiktiraf di peringkat nasional, malah turut menjadi model di persada antarabangsa dalam mengurus kepelbagaian masyarakat majmuk.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wesak 2026 anjuran Pertubuhan Ugama Buddha Miri yang berlangsung di premis persatuan itu, pada Ahad.
Bercakap mengenai sambutan berkenaan, Dato Sri Lee berkata, Hari Wesak bukan sekadar perayaan keagamaan masyarakat Buddha, malah membawa nilai sejagat yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.
Dato Sri Lee menegaskan, Sarawak amat bertuah kerana rakyatnya telah sekian lama hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.
Tambahnya, komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip keterangkuman jelas dizahirkan melalui penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), yang berperanan menyokong pembangunan dan kebajikan semua komuniti agama secara adil.
Beliau turut menekankan bahawa kepelbagaian yang dimiliki Sarawak bukan satu kelemahan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan dan kebanggaan negeri.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu, amalan masyarakat yang meraikan pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Hari Gawai, Deepavali dan Hari Wesak mencerminkan budaya keterbukaan yang unik.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar terus memelihara keharmonian yang dikecapi serta mendidik generasi muda mengenai kepentingan perpaduan demi memastikan Sarawak kekal sebagai lambang keamanan dan keterangkuman.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM35,000 bagi menyokong aktiviti keagamaan serta program pembangunan komuniti.-EDISI UKAS