Sadong Jaya Bakal Jadi Hab Pembangunan Pesisir Strategik, Pesta Terubuk 2026 Meriah
SADONG JAYA: Kawasan Sadong Jaya dan Asajaya dijangka mengalami transformasi pembangunan pesisir yang pesat menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan pembangunan strategik di bawah agenda pembangunan wilayah Sarawak.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, kawasan tersebut memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai hab ekonomi baharu khususnya dalam sektor pelabuhan, logistik dan industri hiliran.
Menurut beliau, kedudukan strategik Sadong Jaya yang berhampiran kawasan muara Batang Sadong dan Batang Lupar turut menjadikan kawasan itu antara pusat pendaratan ikan terubuk terbesar di Sarawak.
“Ikan terubuk merupakan identiti tradisi masyarakat pesisir di kawasan ini dan mempunyai nilai ekonomi yang besar melibatkan nelayan, peraih, pengusaha produk hiliran serta sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian penangguhan Pesta Terubuk 2026 “Lan Berame Nge Sadong” di Panggung Udara Pekan Warisan Sadong Jaya.
Datuk Ir Aidel menambah, kawasan Sadong Jaya kini berada dalam perancangan pembangunan strategik di bawah Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) yang memberi fokus kepada pendekatan pembangunan secara “bottom-up” berasaskan keperluan rakyat.
Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan cadangan projek dikenal pasti terus oleh masyarakat melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua kaum dan agensi tempatan sebelum dilaksanakan kerajaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa setiap agensi pembangunan wilayah di Sarawak diperuntukkan sehingga RM1.5 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Katanya lagi, pembangunan projek mega termasuk jaringan jambatan pesisir seperti Jambatan Batang Sadong dan Jambatan Batang Lupar telah berjaya mengubah landskap pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar dengan meningkatkan hubungan jaringan serta mengurangkan masa perjalanan.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan pesisir Samarahan juga berpotensi menerima limpahan pembangunan baharu termasuk cadangan pembangunan pelabuhan laut dalam serta kemudahan berkaitan industri minyak dan gas Sarawak pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengerusi Perbandaran MPKS, Kr Abang Ismawi Abang Ali berkata, penganjuran Pesta Terubuk 2026 berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan selain menjadi platform memperkenalkan produk tempatan dan memperkukuh warisan budaya masyarakat pesisir.
Menurut beliau, pihak penganjur menjangkakan jualan ikan terubuk sepanjang pesta mampu mencecah sehingga satu tan berdasarkan sambutan memberangsangkan daripada pengunjung.
Katanya, seramai 700 pembeli terawal turut menerima kupon RM10 bagi pembelian ikan terubuk di tapak jualan sebagai usaha menggalakkan promosi produk tempatan.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti diadakan antaranya pertandingan karaoke, aerobathon, pertandingan memasak ikan terubuk, pertandingan bertandak, pameran agensi kerajaan dan NGO, persembahan artis jemputan serta jualan usahawan tempatan.
Turut diadakan sesi simbolik Perasmian Pesta Terubuk 2026 “Lan Berame Nge Sadong” dan Perasmian Jualan Ikan Terubuk oleh Datuk Ir Aidel.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek Geran MRP DUN Sadong Jaya kepada 25 penerima melibatkan masjid, surau, persatuan dan pertubuhan dengan jumlah keseluruhan RM450,000.
Hadir sama, isteri ADUN Sadong Jaya, Datin Dayang Ernie Awang Hashim, wakil Residen Bahagian Samarahan, Janfytria Abu Bakar, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Timbalan Pengerusi MPKS, Kr Daily Joseph, Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang.-EDISI UKAS